Khamis, 31 Januari 2013

Hadi, Pas Main Muslihat Guna Nasharuddin Untuk Tutup Isu Kalimah Allah


KUALA LIMPUR 30 Jan – Tidak hadir pada mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang dikatakan menjadi punca kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipecat daripada menganggotai majlis syura hanyalah sebagai alasan untuk meminggirkannya daripada parti itu.
Sedangkan, ura-ura untuk memecat Nasharudin sudah lama kedengaran  berikutan beberpa tindakan yang dilakukan oleh beliau sehingga menimbulkan rasa tidak senang bukan sahaja di kalangan kepimpinan Pas malah pemimpin pakatan pembangkang yang melihat pembabitannya dalam beberapa  program yang turut membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penganalisa dan Pensyarah Politik , Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat menyifatkan pemecatan Nasharudin daripada Majlis Syura adalah satu isyarat bahawa Pas sebenarnya ingin menidakkan pembabitan beliau dalam parti berkenaan.
“Walaupun  Nasharudin dipecat daripada Majlis Syura, namun beliau masih ahli PAas perkara ini dinyatakan oleh Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Hadi berkata keputusan itu adalah keputusan Majlis Syura dan  tidak ada kena mengena dengan kepimpinan Pas pusat.
“Apa yang dinyatakan oleh Hadi itu adalah lebih kepada cuba bermain politik selamat, sebarang tindakan drastik yang diambil terhadap Nasharudin boleh memberi kesan kepada parti, Nasharudin mempunyai pengikutnya dan sudah pasti apa yang berlaku  boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokongnya, sebab itu Hadi berhati-hati dalam kenyataannya.
“Begitu juga dengan isu Kalimah Allah, Hadi masih terus berdiam diri sedangkan Majlis Syura sudah pun membuat ketetapan, inilah mainan politik Hadi di samping bagi memastikan sokongan daripada ahli partinya, beliau juga tidak mahu kehilangan sokongan daripada rakannya dalam pakatan pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Menurutnya, pemimpin pembangkang merasakan kehadiran Nasharudin menyukarkan pakatan yang dijalin antara DAP, Pas dan PKR kerana beberapa kenyataan yang dibuat tidak berpihak kepada mereka malah lebih bercanggah daripada apa yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti terbabit.
“Ketidak sehaluan Nasharudin dengan pemimpin pembangkang seperti Pengerusi DAP (Karpal Singh) dan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menimbulkan rasa tidak senang kepada pemimpin DAP dan PKR, sedangkan Pas terpaksa berdiam diri.
“Nasharudin sebenarnya mengalami nasib serupa seperti bekas Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang ditunjuk jalan keluar  apabila bertelagah dan bersenpendapat dengan pemimpin DAP dan PKR Selangor, dan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan jika Nasharudin juga akan dipecat daripada Pas,” katanya.
Dr  Samsul berkata, apa yang berlaku terhadap kedua-dua tokoh besar Pas itu sebenarnya adalah agenda tersembunyi pakatan pembangkang untuk melenyapkan mereka kerana kehadirannya lebih banyak membawa masalah yang boleh merosakkan perancangan pembangkang untuk menawan Putrajaya. -MediaUMNO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...