Mahkamah Rayuan membatalkan pelepasan dan pembebasan Muhyiddin Yassin apabila mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah Syed Ali hari ini sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lepas yang membenarkan bekas perdana menteri itu untuk mencabar pertuduhan berkenaan atas alasan ia tidak jelas dan cacat.
Panel hakim, yang turut dianggotai hakim Azmi Ariffin dan SM Komathy, membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan salah guna kuasa.
Bercakap bagi pihak panel rayuan, Hadhariah memutuskan bahawa pertuduhan adalah jelas dan tidak kabur.
Pada 15 Ogos tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan salah guna kuasa adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
Dia berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
