
Kerajaan negeri bercadang untuk menaik taraf kemudahan prasarana sekolah luar bandar dalam usaha merapatkan jurang dengan sekolah bandar bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan sekolah luar bandar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu.
Katanya, peningkatan kecemerlangan pelajar sekolah di luar bandar itu amat membanggakan dan tumpuan lebih terperinci wajar diberikan memandangkan mereka telah membuktikan berpotensi tinggi untuk berjaya dalam pelajaran.