“Tidak pernah sebelum ini persatuan kami memperoleh sumbangan sebanyak ini daripada mana-mana pihak walaupun mengetahui wang itu penting untuk kebajikan ahli dan pentadbiran.
“Kami tidak pernah meminta melainkan ada di kalangan ahli yang berkemampuan yang menghulurkannya supaya pertubuhan yang ditubuhkan lebih 24 tahun lalu terus aktif,” kata Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Ikan Melayu Kuala Terengganu, Md Tahar Abdullah.
Persatuan itu yang menerima sumbangan RM4,000 daripada kerajaan negeri berazam untuk terus menjaga kebajikan kira-kira 500 ahli, termasuk berkaitan khairat kematian, ahli uzur dan pinjaman modal.
Md Tahar ditemui Teganukita selepas Program NGO Dihatiku di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.