Ahad, 3 November 2013

Monsun Timur Laut bermula dijangka berakhir Mac 2014

KUALA LUMPUR - Musim Monsun Timur Laut di negara ini bermula semalam dan dijangka berakhir pada minggu ketiga Mac 2014.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, episod hujan lebat pertama dijangka berlaku sekitar minggu ketiga bulan ini.
Ia menjelaskan bahawa pada musim ini, negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami empat hingga lima episod hujan lebat yang menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari.
Keadaan itu boleh mengakibatkan kejadian banjir di negeri-negeri pantai timur dan kawasan selatan Semenanjung pada bulan ini dan Disember serta Januari 2014.
Kejadian sama boleh berlaku di bahagian barat dan tengah Sarawak pada Disember 2013, Januari dan Februari 2014, dan di pantai timur Sabah pada Januari dan Februari 2014.
"Walaupun negara dijangka mengalami Monsun Timur Laut yang normal, namun setiap episod hujan lebat boleh menyebabkan kejadian banjir terutama di kawasan lembangan sungai,” kata jabatan itu.
Musim itu menyaksikan angin timur laut yang bertiup secara tetap merentasi Laut China Selatan hingga ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. - Bernama

Sabtu, 2 November 2013

MINYAK NAIK HARGA, ASTRO PUN NAK NAIK HARGA JUGAK ???

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) disaran mengkaji tindakan stesen televisyen berbayar Astro menaikkan kadar perkhidmatannya sebelum perkara itu dipanjangkan ke pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk sebarang tindakan lanjut.
Saranan itu dibuat Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Jailani Johari. "Saya ada dengar isu kenaikan harga Astro. SKMM selaku satu badan kawal selia mungkin sudah dimaklumkan perkara itu. "Apa-apa kajian yang dibuat pihak SKMM perlu ambil kira isu-isu yang dibangkitkan pengguna Astro sebelum ini seperti 'program ulangan' dan sebagainya, sebelum diajukan kepada pihak kementerian untuk buat keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili kerajaan pada majlis resepsi sempena sambutan 'King's Day' bagi negara Belgium di sini malam Jumaat.
Jailani menarik perhatian bahawa Seksyen 199 Akta Komunikasi dan Multimedia memberi kuasa kepada menteri untuk memainkan peranan dalam menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi kepentingan orang ramai.
Dilaporkan bayaran langganan bulanan dinaikkan masing-masing RM2 dan RM6 bagi pakej keluarga dan pakej sukan mulai 24 November ini.
Penyedia perkhidmatan, Astro Malaysia Holdings Berhad, dilaporkan berkata kenaikan itu buat pertama kali dalam tempoh dua tahun itu disifatkan sebagai 'peningkatan sederhana'. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...