KOTA BHARU -
Hasrat murni seorang lelaki membina sebuah masjid di kawasan permainannya
sewaktu kecil akhirnya menjadi kenyataan selepas rumah ibadah bernilai
RM7.5 juta itu telah siap dibina.
Pembinaan
MASJID IMANUL
FA'IZIN ATAU MASJID ANDALUSIA yang terletak di Kampung
Padang Kala, di sini berjaya direalisasikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat
Sin.
Reka bentuk yang
berinspirasikan Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE)
itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.
Menurut
Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa'izin, Nik Saiful Adli Burhan, tapak masjid
ini merupakan kawasan permainan pemiliknya semasa kanak-kanak sekali gus
meninggalkan banyak memori indah kepada Ibrahim.
"Bertitik-tolak
dari situlah beliau (Ibrahim) berazam untuk membina sebuah masjid menggunakan
wang miliknya sendiri.
"Alhamdulillah masjid ini berjaya dibuka kepada orang ramai bermula satu Ramadan lalu. Malah lebih bermakna lagi apabila 2,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat tarawih di sini pada hari pertama pembukaan," katanya kepada Sinar Harian.