
Kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM2.5 juta sebulan akibat kegiatan
penyeludupan minyak petrol dan diesel dari negeri ini ke negara jiran.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Datuk Azis Yacub
berkata, kerugian itu melibatkan jumlah subsidi minyak yang mengalir keluar dan
cukai yang gagal dikutip.
Kegiatan penyeludupan diesel dan petrol di kawasan Tumpat sahaja telah
menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM98,000 dalam masa sehari,
katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Azis berkata, aktiviti penyeludupan itu berlaku melalui Sungai Golok
yang menjadi sempadan Kelantan dan Thailand, bermula dari Pengkalan Kubor di
Tumpat hingga ke Jeli.