TERENGGANU selangkah merangkul gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke-14 temasya itu dengan 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.
Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu hari ini diperoleh dalam acara pencak silat menerusi Normanjalina Madon (Kelas A 45-50kg Puteri) dan Norfarana Mohd Kamil (Kelas Bebas 75-90kg Puteri).
Skuad basikal Terengganu turut menyumbang dua pingat emas dalam acara Kriterium 54.4km wanita menerusi Zahraa Anuawar dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (Kriterium 81.6km lelaki).
Baki dua lagi emas Terengganu diraih Nurul Iryani Muda (Compound perseorangan wanita pusingan olimpik) dan petanque lelaki triples (Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani/Mohamad Adri Abdul Jalil/Syed Akmal Fikri Syed Ali).
Kontinjen Selangor yang menghuni tangga kedua keseluruhan menggumpul 45 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa.
Dalam saingan hari ini, Selangor hanya mengutip dua pingat emas dalam acara pencak silat menerusi Nor Afizah Yajis (Kelas E 65-70kg Puteri) dan Partini Sakrikin Adnan (Kelas B 50-55kg Puteri).