Rabu, 4 Julai 2012

Dana RM50,000 bantu bekas tentera tidak berpencen


Kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan permulaan sebanyak RM50,000 kepada Koperasi Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KVTTB) bagi membela nasib golongan itu yang pernah berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan bantuan dana itu, malah akan meluluskan permohonan tanah tapak rumah dan pertanian yang boleh diusahakan oleh bekas tentera sebagaimana kemudahan yang dinikmati rakyat seluruh Terengganu.

“Ini kali pertama satu pertubuhan koperasi veteran tidak berpencen (di Terengganu). Sebenarnya mereka berkhidmat sehingga 18 tahun. Ada 10..ada 12 tahun. Untuk membolehkan mereka menerima pencen tentera mereka perlu berkhidmat sehingga 21 tahun.



“Jadi selama ini tiada pertubuhan atau persatuan ditubuhkan untuk membela kebajikan mereka. Alhamdulillah, Komander En Mohd Sabri Abd Malek (Yang Dipertua KVTTB) sudah ditubuhkan di peringkat Pusat dan selepas ini peringkat negeri-negeri, di mana Terengganu adalah negeri ke-13. Insya-Allah menerusi pertubuhan ini memudahkan kerajaan negeri membantu mereka,” katanya di sidang akhbar sempena Program Jejak Kasih Pemimpin Bersama Rakyat serta Pendaftaran Ahli KVTTB 1Malaysia, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua KVTTB, Encik Mohd Sabri Abd Malek dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha.

Menteri Besar berkata, melalui pertubuhan ini, kerajaan negeri akan memastikan nasib bekas tentera yang pernah berjasa memikul senjata demi mempertahankan kedaulatan Tanah Air terbela menerusi bantuan dan kemudahan di bawah satu pengurusan yang lebih sistematik dan telus.

“Di Terengganu, usaha mengesan ahli tentera tidak berpencen sedang giat dilaksanakan bagi memastikan mereka menjadi ahli KVTTB secara sah sekali gus menambah jumlah ahli sedia ada di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, seramai 200,000 ahli tentera veteran tidak berpencen dikenalpasti di seluruh Malaysia dengan 60,000 daripadanya menyertai KVTTB.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...