Gambar hiasan |
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah dan Balai Polis Daerah telah menyerbu sebuah rumah di Kuala Besut pada jam 1.30 petang kelmarin dekat Kampung Alor Teratai, Kuala Besut.
Menurutnya, hasil serbuan polis memberkas seorang suspek berusia 27 tahun dan rakannya, warga emas berusia 60 tahun dan menemui seekor lembu yang diikat pada sebatang pokok dalam semak berhampiran.
“Siasatan mendapati suspek pertama disyaki terbabit mencuri lembu sekitar kampungnya dekat Alor Teratai, kemudian menjual kepada warga emas itu yang bertindak sebagai orang tengah.
“Warga emas terbabit kemudiannya dikatakan menjual daging lembu curi itu kepada orang ramai,” katanya.
Siasatan awal mendapati, suspek pertama melakukan kegiatan mencuri lembu dan menjualnya kepada suspek kedua sejak dua bulan lalu, membabitkan lima ekor lembu dalam tempoh itu.
Menurutnya, kesemua lembu tersebut dicuri di sekitar kampung berkenaan sebelum disembelih untuk dijual.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu Kamaruddin turut memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak memiliki, menjual atau bermain mercun.
“Sepanjang Ramadan ini, pihak polis akan memantau dan mengambil tindakan tegas serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang terlibat.
“Perbuatan bermain mercun amat berbahaya selain mengganggu anak-anak kecil serta warga tua,” katanya.
Mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 157 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kata beliau, pada tahun lalu, sebanyak lima tangkapan dibuat dan telah dituduh di bawah seksyen tersebut.