Sabtu, 21 Julai 2012

Penduduk Marang persoal tindakan AmBank tutup cawangan


MARANG 18 Julai - Penduduk di sekitar bandar ini terutamanya pelanggan AmBank berharap pihak pengurusan bank itu tidak akan menutup operasi cawangannya kerana ia banyak memberi kesulitan kepada mereka.

Bagi mereka, institusi perbankan itu tidak harus mementingkan keuntungan semata-mata dan meminta ia terus dikekalkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial bagi memberikan kemudahan dalam pelbagai bentuk perkhidmatan.

Walaupun hanya sebagai sebuah bank cawangan, tetapi banyak perkhidmatan yang ditawarkan dan mereka berpendapat ia sepatutnya dipertingkatkan dan bukannya ditutup.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati notis pemberitahuan mengenai penutupan cawangan bank tersebut berkuat kuasa mulai 29 September depan ditampal di pintu masuk dan segala urusan serta perkhidmatan yang berkaitan akan dipindahkan di AmBank Kuala Terengganu.

Pada masa ini selain AmBank, daerah itu mempunyai Bank Simpanan Nasional (BSN) dan AgroBank, manakala Bank Islam hanya menyediakan mesin pengeluaran wang dan memasukkan cek.

Bagi Rahimi Ibrahim, 48, penutupan cawangan di sini adalah tidak wajar sama sekali kerana ramai penduduk menggunakan kemudahan bank tersebut dan kelak mereka terpaksa ke Kuala Terengganu sejauh 20 kilometer untuk berurusan.

"Sepatutnya lebih banyak bank komersial dibuka seperti Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank dibuka kerana Marang kini sedang membangun," katanya yang membuka akaun sejak enam tahun lalu.

Rohmah Deraman, 53, mengakui AmBank menyediakan banyak kemudahan kepada pelanggan untuk berurusan berbanding bank lain.

Beliau berkata, daerah ini seolah-olah terpinggir jika dibandingkan dengan yang lain.

Rakan beliau, Sarbanun Chik, 48, juga berharap AmBank dapat terus kekal kerana perkhidmatan yang ditawarkan amat memuaskan.

"Walaupun notis sudah dimaklumkan kepada pelanggan tetapi saya masih berharap ia dapat dikekalkan demi kepentingan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Sudin Abdullah, 42, juga tidak bersetuju dengan tindakan pihak pengurusan AmBank untuk menutup cawangan tersebut kerana menyukarkannya jika hendak berurusan di Kuala Terengganu.

"Ini kerana urusan gaji dimasukkan dalam akaun bank tersebut, malah ramai lagi rakan-rakan saya menghadapi masalah kalau terpaksa berurusan di Kuala Terengganu," ujarnya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan di daerah itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...