Sabtu, 7 Julai 2012

RAKYAT TERENGGANU SEMAKIN RAMAI MENGIDAP KENCING MANIS 'DIABETES'


KUALA MENJING - Kencing manis ataupun Diabetis dikenal pasti antara penyakit yang menunjukkan graf peningkatan jumlah pesakit baru hampir saban tahun bagi negeri ini, dan pastinya ia satu perkara yang membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, ia terbukti apabila jumlah pesakit baru didaftarkan sepanjang tahun lepas seramai 3,752 orang, manakala sehingga Mei tahun ini, jumlahnya sudah menjangkau 2,359 pesakit.

“Statistik juga menunjukkan peningkatan bagi pesakit baru. Berdasarkan rekod 2007, jumlah pesakit diabetes baru didaftarkan sepanjang tahun ialah 2,092 orang, manakala pada tahun lepas seramai 3,752 orang.

“Jika dibuat perbandingan, bermakna bagi tempoh lima tahun terdapat lebih 1,000 individu menghidap penyakit ini. Malah dijangka ia akan terus meningkat jika tiada langkah awal diambil orang ramai untuk mencegah daripada menghidap diabetes," katanya.

Menurutnya, corak kehidupan dan aspek pemakanan adalah faktor utama penyebab diabetes.

"Berjalan kaki 10,000 langkah antara salah satu cara mencegah penyakit tidak berjangkit ini selain sentiasa menitikberatkan pemakanan diambil setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Komuniti Sihat Bersama Pemimpin Daerah Hulu Terengganu di sini, kelmarin yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat.

Program anjuran bersama Panel Klinik Kesihatan Kuala Berang dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu itu bertujuan meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat dan menarik minat untuk libatkan diri dalam aktiviti kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan ibu-ibu mengandung supaya sentiasa peka dengan nasihat doktor atau jururawat, memandangkan golongan itu sering menghidap penyakit darah tinggi yang boleh membawa maut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...