Ahad, 10 Disember 2023

Suspek bunuh ibu bapa positif 3 jenis dadah – Polis


KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan suspek yang membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala di sini, malam tadi positif tiga jenis dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

Semakan juga mendapati suspek yang berusia 42 tahun mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek juga baru dituduh atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 1 Disember sebelum diberi jaminan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek kini direman  tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Hasil siasatan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di tempat kejadian menemukan beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Antaranya, mata pisau, dua hulu pisau, satu helmet, satu meja kayu bulat, batang kayu, serpihan kayu serta sepasang kasut hitam dipercayai milik suspek,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan awal polis menemukan beberapa kesan tikaman pada tubuh kedua-dua mangsa, namun belum dapat dipastikan punca kematian.

“Berikutan itu, kita masih menunggu keputusan bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) pada jam 10 pagi ini.

“Buat masa ini, kita belum dapat memastikan punca pertengkaran tiga beranak ini serta motif pembunuhan. Siasatan masih dijalankan, termasuk merakam keterangan saksi-saksi,” katanya.

Allaudeen berkata, mangsa lelaki berusia 82 tahun ialah pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala isterinya yang berusia 72 tahun suri rumah.

Terdahulu,  Buletin TV3 melaporkan pasangan suami isteri ditemukan mati disyaki dibunuh oleh anak lelakinya malam tadi.

Polis yang tiba di lokasi menemukan mayat kedua-dua warga emas itu terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka di Sungai Penchala.

Sebelum kejadian kira-kira 7.43 malam itu, suspek lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan bertengkar dengan ibu bapanya.

Suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sebelum  ditangkap kira-kira jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...