Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan membuka empat lagi kelas Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di seluruh negeri ini bermula Januari 2014.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Omar Pilus berkata, kelas SPAIT yang bermula sejak tahun 2011, merupakan satu daripada inisiatif MAIDAM dalam mendekatkan masyarakat dengan ilmu agama secara formal dan berstruktur.
"Kelas SPAIT ini ditawarkan untuk golongan masyarakat yang berusia 25 tahun ke atas dan diadakan dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.
"Kurikulum pengajian adalah berasaskan tiga subjek utama iaitu Tauhid, Feqah dan Tasawuf, yang akan diajar mengikut tahap kelas pengajian," katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran kelas SPAIT Tahap Mutawwassit di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ladang baru-baru ini.