Dua calon yang bertanding masing-masing bagi jawatan Naib Ketua Pemuda
dan Ketua Wanita Bahagian menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa
Pemilihan Umno (JPU) bagi menyuarakan tidak puas hati berhubung keputusan yang
diumumkan Ahad.
Surat bantahan itu dihantar oleh wakil calon Naib Ketua Pemuda Umno pusat Khairul Azwan Harun dan calon Ketua Wanita Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman.
Wakil calon yang juga pencadang Khairul Azwan, Mohamad Annuar Ariffin berkata beliau menyerahkan surat bantahan itu kepada Pengerusi JPU Tan Sri Tajol Rosli Ghazali kira-kira pukul 5 petang.
Katanya keputusan seri 73 undi yang diumumkan antara Khairul Azwan dan seorang lagi calon, Jamawi Jaafar tidak relevan kerana mereka mendapati undian yang diperoleh Khairul Azwan sebelum pengumuman dibuat adalah lebih daripada jumlah itu.

