PUTRAJAYA 27 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, kerajaan akan memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah Pelan Transformasi Kerajaan bagi mengawal “pembiayaan politik” demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik di negara ini.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu memberi penekanan bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri, hendaklah disalurkan melalui akaun rasmi parti.