PETALING JAYA – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan tarikh melihat anak bulan Ramadan pada petang 10 Mac (Ahad) ini bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijriah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, katanya, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi terpilih.
Antaranya Pontian Kecil (Johor), Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka), Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan), Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra, Banting (Kuala Langat), Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam.

