KEAHLIAN jawatankuasa audit, integriti dan
risiko Tabung Ekonomi
Kumpulan Usaha Niaga
(Tekun Nasional)
seramai empat ahli termasuk pengerusinya tidak mempunyai latar belakang
perakaunan dan tidak menjadi ahli kepada badan perakaunan, demikian menurut
Laporan Ketua Audit Negara 2016 siri 1.
Di dalam laporan itu, Ketua Audit Negara
menjelaskan, berdasarkan 'Green
Book: Enhancing Board Effectiveness', salah seorang ahli jawatankuasa audit hendaklah
ahli kepada Institut Akauntan Malaysia.
'Bursa Securities Listing Requirements' juga
menyarankan salah seorang ahli jawatan kuasa audit mempunyai latar belakang
perakaunan.
Berdasarkan semakan Ketua Audit Negara Lembaga
Amanah Tekun Nasional telah bersetuju bahawa mesyuarat jawatankuasa audit, integriti
dan risiko (JKAIR) diadakan sebanyak empat kali setahun.
Semakan audit mendapati kekerapan mesyuarat JKAIR
tidak mengikuti ketetapan yang telah dipersetujui oleh lembaga Amanah,
kekerapan mesyuarat diadakan antara satu hingga dua kali setahun bagi 2013
hingga 2015.
Semakan audit juga mendapati laporan kewangan
tahunan Tekun Nasional bagi tahun berakhir 31 Disember 2013 dan 2014 telah
dibentangkan kepada JKAIR.
