KUALA LUMPUR, 31 Okt. – Kegagalan pakatan pembangkang dalam menunaikan pelbagai janji di negeri-negeri tadbiran mereka sebagaimana yang pernah diluahkan dalam kempen sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu telah menjadi bukti bahawa ia hanyalah ibarat gula-gula politik.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas pakatan pembangkang iaitu sekutu PKR, Pas dan DAP lantaran gagal memastikan janji-janji terbabit sebagai realiti sebaliknya masih terus-terusan memburukkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Setiap janji yang dilafazkan mesti ditunaikan dan sekiranya kita tidak pasti bahawa apa yang diperkatakan dapat dilakukan maka jangan sesekali berjanji apatah lagi dalam hal-hal yang membabitkan pentadbiran, kebajikan dan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya kepada UMNO-Online.