SEREMBAN - Puteri Umno perlu mengubah strategi 'syok sendiri' kepada program kemasyarakatan bagi
mendekatkan diri dengan rakyat, sekali gus memperkukuh jentera pergerakan itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, strategi 'syok sendiri' mesti dihapuskan kerana masyarakat hari ini lebih peka mengenai isu berkaitan
kemasyarakatan dan Puteri Umno juga harus mengubah agenda mereka
seiring dengan perubahan itu.
"Hari ini saya lihat di media massa mahupun media dalam
talian jika ada perkara yang menyentuh tentang kemasyarakatan, orang akan cepat
beri reaksi. Jadi Puteri Umno mesti mengubah strategi.
"Strategi syok sendiri mesti dilupakan. Strategi kita mesti
bersama dengan masyarakat kerana di situ masyarakat boleh menilai kita dan fungsi
kita.
"Saya akan terus bantu apa sahaja program yang akan
dilaksanakan jika ia adalah program yang menyentuh masyarakat," katanya
ketika merasmikan Kempen Keahlian dan Daftar Pemilih Peringkat Negeri Sembilan
di sini hari ini.
Mohamad berkata pada ketika ini agenda tetap dalam setiap
mesyuarat perhubungan adalah berkenaan daftar pemilih dan keahlian baharu
kerana ia berkaitan dengan perjuangan masa hadapan parti yang bergantung kepada
sejauh mana dapat meraih keahlian baharu.
"Ini mustahak kerana tiada guna ada nama parti yang gah
tetapi keahlian semakin beransur lenyap kerana faktor usia dan tiada usaha
dijalankan untuk kita dapatkan keahlian baharu.
"Sebagai parti politik kekuatan kita adalah sejauh mana dapat
daftar keahlian yang mendukung parti dan sejauh mana mereka jadi
pengundi," katanya.
Berikutan itu, Mohamad berkata, usaha menarik minat anak muda
perlu juga dipergiatkan kerana percaya masih ramai di luar sana yang belum
menjadi ahli parti.
Sumber: KLIK DISINI