Leher
remaja berlubang terkena mercun buatan sendiri
DUNGUN,
17 Jun: “Saya sangat terkejut melihat keadaan mangsa
yang cedera teruk dan lehernya juga turut berlubang terkena mercun,” luah
Noriah Awang mengenai kejadian yang menimpa anak saudaranya akibat bermain
mercun di Kampung Tok Kah di sini,
Khamis malam.
Noriah, 41, berkata Mohd Haiqal Firdaus Mohd Abdullah, 14, dipercayai bermain mercun buatan sendiri bersendirian berhampiran rumah neneknya kira-kira 9 malam sebelum mercun yang dipasangnya meletup.
“Saya hanya menerima berita yang menimpanya 10 minit kemudian
selepas adik menghubungi saya, memaklumkan insiden yang menimpa anak sulung
enam beradik itu.
“Kami bergegas membawanya ke Hospital Dungun untuk menerima
rawatan,”
katanya ketika ditemui Bernama, awal pagi tadi.
Sebelum kejadian itu katanya Mohd Haiqal keluar dari rumahnya
kira-kira pukul 5 petang untuk berbuka puasa bersama anggota keluarganya
yang lain di rumah nenek mereka.
Noriah berkata sebelum itu, adik beradiknya yang lain ada
terdengar bunyi letupan.
“Tidak lama selepas itu mangsa pulang ke rumah dengan keadaan
berlumuran darah dan beritahu dia sakit,” katanya.
Mangsa yang sebelum itu dihantar ke Hospital Dungun bagaimanapun
dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk
rawatan lanjut.
“Mohd Haiqal kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah
menjalani pembedahan bagi merawat lehernya yang mengalami kecederaan
serius,” kata Noriah.
Sementara itu Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman ketika
dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengetahui
punca sebenar kejadian berkenaan.
Katanya setakat ini keluarga mangsa masih belum membuat laporan
polis.—
Bernama