Ahad, 30 Oktober 2011

KEPERITAN HIDUP IBU TUNGGAL TERBELA


Rhu Rendang - Tiada siapa yang ingin hidup dalam kesusahan dan membesarkan anak mereka sendirian tanpa ada tempat untuk bergantung harap tetapi jika ditakdirkan begitu, apalah yang terdaya diucapkan selain terus tabah menghadapinya.

Demikian hidup yang terpaksa diharungi seorang ibu tunggal muda, Juliana Ismail, 31, yang tinggal bersama tiga anaknya di rumah sewa mereka di Kampung Alur Tuman, di sini.

Menurut Juliana, episod duka dalam hidupnya bermula sejak Julai tahun lalu apabila suaminya seorang pemandu kenderaan berat, Zailani Mat Nawi, 36, yang menjadi tempat mereka bergantung harap meninggal dunia akibat demam panas.

Selepas suaminya meninggal dunia Juliana berkata, dia terpaksa bergantung kepada belas ihsan keluarga terdekat dan keluarga arwah suaminya termasuk jiran untuk menyediakan keperluan harian kerana tidak bekerja.

Kini tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan hati seorang ibu tunggal apabila keperitan hidupnya menyara tiga anak mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui permohonan pemimpin setempat.

“Melalui permohonan Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku, saya kini menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sebulan bermula sejak Mac lalu termasuk modal menjalankan perniagaan.

“Saya juga dibekalkan set permulaan menjalankan perniagaan produk kecantikan dan kit solekan untuk memulakan perniagaan sebagai jurusolek oleh jabatan itu awal bulan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Tuman di sini, semalam. 

Tiga anaknya adalah Nurasha, 9, Mohamad Haikal, 7, Nurmaya Izrin, 5, yang berada dalam tahun tiga, satu dan pra sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kelulut.

Juliana bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan berterima kasih kepada Nik Dir kerana memanjangkan permohonannya kepada JKM, sekali gus jabatan itu meluluskan pelbagai bantuan demi memastikan anaknya terus bersekolah.

“Mana tidaknya, selepas Nik Dir datang melawat pada Januari lalu, pelbagai bantuan kerajaan diterima malah JKM turut menyalurkan bantuan bulanan.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak kerana membela nasib kami empat beranak,” katanya.
Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...