Gambar hiasan
GONG BERIS – Nasib warga emas, Wan Chik Wan Musa, 80, yang mengalami kerugian kira-kira RM70,000 selepas rumahnya musnah dalam kebakaran akhirnya terbela apabila diberi sebuah rumah baru bernilai RM33,000 di Kampung Gong Beris di sini, semalam.
Rumah yang dibina semula berdekatan tapak asal rumah yang musnah dalam kebakaran 16 Januari lalu itu ditanggung Kerajaan Negeri selepas permohonan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku, diluluskan.
Wan Chik ketika ditemui, melahirkan rasa syukur kerana kepayahan hidupnya selama kira-kira lima bulan menumpang di rumah anak di Paka, Dungun akhirnya mendapat perhatian dan kini dia dapat menikmati kehidupan dalam kediaman lebih selesa.
“Sebelum ini saya tinggal di rumah anak-anak selepas rumah musnah dalam kebakaran Januari lalu. Saya kini mampu menarik nafas lega kerana dapat tinggal di rumah sendiri semula,” katanya pada majlis penyerahan kunci kediaman barunya di sini, semalam.
Penyerahan kunci rumah baru disampaikan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku. Hadir sama, Penghulu Mukim Pulau Kerengga, Ibarahim Osman.
Sementara itu, Nik Dir berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu golongan yang ditimpa bencana untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Menurutnya, masalah seperti itu juga mampu diatasi dengan cepat jika semua pihak terutamanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan masyarakat setempat memainkan peranan mereka.
“Kita peka dengan masalah seperti ini dan kami juga akan sentiasa memberikan perhatian agar masalah kehilangan harta benda akibat bencana terutama di kawasan DUN Rhu Rendang, diberikan perhatian segera,” katanya