Ahad, 2 Oktober 2011

Isu remaja tidak harus dipandang ringan -Tuanku Nur Zahirah



Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bertitah, bahawa isu melibatkan remaja hari ini tidak harus dipandang ringan memandangkan mereka adalah pewaris masa depan negara.


“Dalam konteks ini, Beta meletakkan harapan tinggi agar pihak universiti dapat memain peranan yang lebih terencana dalam merungkaikan masalah ini,” titah Baginda di Majlis Konvokesyen Ke-9, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Sultan Mizan hari ini.


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis berkenaan. Hadir sama Tengku Seri Temenggong Raja; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.


Kenamaan lain ialah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pro-Canselor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan Naib Canselor UMT Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman.

Selaku Censelor UMT, Tuanku Nur Zahirah menyarankan agar UMT mengambil langkah pro-aktif dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dapat memberi sumbangan untuk transformasi peringkat negara dan juga komuniti setempat agar mereka tidak terpinggir daripada arus pemodenan perdana.

“Beta berbangga dengan pencapaian UMT hari ini dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa walaupun universiti ini masih lagi dianggap muda di persada dunia akademik,” titah Baginda.

Titah Baginda, universiti merupakan satu institusi penjanaan ilmu dalam merencanakan pembangunan modal insan di samping pemacu kepada kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan.

“Beta ucap tahniah dan syabas kerana UMT berjaya menubuhkan Fakulti Pembangunan Sosial dan Pusat Pembangunan Sosioekonomi tahun ini dan yakin fakulti dan pusat ini mampu menjadi pemangkin dalam membantu serta menawarkan penyelesaian bagi mengatasi pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan,” titah Tuanku Nur Zahirah.


Tuanku Nur Zahirah kemudiannya berpesan agar graduan sentiasa menjaga nama baik universiti walau di mana berada kerana mereka adalah duta kepada institusi ini.

“Beta menaruh harapan agar semua graduan pada hari ini dapat menjadi modal insan yang bertakwa demi menjana keseimbangan kecemerlangan dunia dan akhirat,” titahnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...