Pertamanya, saya tidak tahu dimanakah kesudahannya hasrat ini. Walaupun begitu, saya lontarkan sahaja ia dikesempatan ini dengan harapan sekiranya didapati baik, ceduklah ia dan panjangkanlah ia. Sekiranya tidak, tinggalkanlah sahaja.
Berikut adalah pemerhatian dan pandangan saya:
Sudah sekian lama kita hidup bersengketa disebabkan fahaman politik yang berbeza. Kelihatannya, kita lebih suka memilih untuk bersengketa kerana mahu menegakkan fahaman dan pendirian masing-masing tanpa mengambil kira saranan Al Quran dan Hadith Nabi SAW menyeru umatnya bersatu diatas tali Yang Maha Kuasa. Apapun yang menjadi pendirian kita, adakah betul dan bijak untuk ia dijadikan sebab untuk kita terus bersengketa sehingga tidak nampak kesudahannya? Adakah kita masih ingin mengungkit kisah lama sebagai alasan untuk tidak bersama? Dimanakah jalan tengahnya? Adakah kita benar-benar berusaha mencarinya?
Dewasa ini, isu Hudud timbul semula. Gegak gempita bumi Malaysia ini keseluhurannya. Kita mungkin boleh berbeza jika ianya melibatkan hal ehwal kita sebagai manusia didunia tetapi adakah kita tidak dapat bersama dalam hal suruh agama kita? Kita boleh memilih angin badai melanda dan sindiran pedas berlada untuk menghentam lawan disebelah sana dalam menegakkan pendirian dan kepentingan kita, akan tetapi kita juga boleh memilih untuk mencari angin yang sepoi-sepoi bahasa dan kata-kata yang menyejukkan jiwa.
Walaupun isu Hudud ini nampaknya seakan menyerlahkan keretakkan sedia ada, tetapi kita juga boleh melihat ianya sebagai peluang untuk merapatkan jurang perbezaan diantara kita. Apa kata jika PAS dan UMNO bersatu dalam hal Hudud ini? Biarkan sahaja DAP dan MCA yang menggertak kita untuk keluar Pakatan dan Barisan, keluar sungguh kali ini, sekiranya itulah yang mereka mahukan. Mereka ini bijak berstrategi dan pandai meminta serta menggertak kena pada masanya. Kita pula terlalu berlembut, bertolak ansur lalu tunduk sahaja kepada kehendak mereka akhirnya. Kepentingan puak mereka sahaja yang akan untung dihujung cerita. Tiada ketegasan pada kita umat Islam inilah yang membuatkan mereka menjadi semakin berani sedemikian rupa. Terhakis sedikit demi sedikit kepentingan kita dek kelicikan mereka menari gendang politik ditambah dengan persengketaan dan perpecahan sesama kita. Insaflah, segelintir puak Ultra-Kiasu yang berada ditampuk kuasa itu sebenarnya boleh bersatu dalam senyap, baik DAP atau MCA/GERAKAN, dan sesekali tidak akan jumpa noktah kepada nafsu serakah mereka.
Aliran dan corak ini amat berbahaya jika dibiar berterusan. Ditambah pula dengan pemikiran serta jati diri generasi baru dan mendatang umat Islam ini yang semakin longgar pegangan agama dan adab resam budaya serta semakin jauh daripada sejarah silamnya. Sesuatu harus dilakukan oleh kita hari ini sebagai benteng persediaan untuk anak cucu kita dimasa hadapan kelak. Untuk itu, apa kata jika sekali ini kita gertak balik mereka tanpa menyentuh hal ehwal dan hak asasi serta kepercayaan agama mereka. Kita gertak mereka tanpa berkata apa-apa. Hudud ini hal kita dan suruh agama kita, kenapa mereka pula yang nak terasa? Kita tunggu sahaja dan lihat apa yang mereka nak kata pula. Benarkah mereka akan bertindak seperti yang dikata?
Kita menyarankan agar UMNO dan PAS mesti senada dalam menangani isu Hudud ini. UMNO dan PAS tidak perlu bersatu didalam satu parti sekiranya ia menjadi susah dan mengundang perbahasan yang panjang. Cukup sekadar bersatu didalam hal menegakkan syariat Allah SWT ini sahaja. Tetapi sekiranya kita dapat bersatu dibawah satu panji, alangkah moleknya.
Akan tetapi yang pentingnya disini adalah keduanya mesti berjumpa dahulu kepada suatu titik pertemuan. Langkah pertama yang boleh diambil adalah mewujudkan suatu platform melibatkan para ulama dan ilmuan daripada PAS/UMNO dan saudara kita diluar negara untuk berbincang mengenai Hudud. Segala persoalan mengenai Hudud dihalusi dan dibincangkan didalam platform tersebut dengan mengambil kira keadaan dan teknologi semasa. Suruhanjaya DiRaja dibawah payung DYMM serta Majlis Raja-Raja adalah platform yang terbaik bagi membentuk pemuafakatan ini. Sekiranya ahli-ahli pemuafakatan bercanggah pandangan, persembahkan ia kepada DYMM serta Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan muktamad kerana mereka adalah Ketua Agama dan kita semua kena patuh dan taat apa-apa yang diputuskan oleh Baginda. Sekiranya disiplin ini tidak diikuti, kita khuatir, permuafakatan yang hendak diusahakan akan menjadi sia-sia kerana akan mengundang perdebatan yang panjang berjela sehingga menyebabkan apa yang telah diusahakan hancur berkecai akhirnya. Selain daripada itu, isu Hudud ini akan berterusan menjadi duri dalam daging kepada perpaduan yang kita semua idam-idamkan.
Setelah sesuatu perkara disepakati, kita sebarkan ia kepada rakyat secara berperingkat dan dari masa kesemasa. Libatkan rakyat didalam proses perbincangan Hudud tersebut bagi merungkai segala persoalan didalam akal dan hati mereka. Tidak secara langsung rakyat ditarbiyah dan mendapat ilmu serta kefahaman daripada sumber muafakat yang sama disamping sebagai persediaan mental buat mereka. Tidaklah nanti rakyat marhaen dibawah ini berhujjah tanpa ilmu dikedai kopi dimana pihak disini menganggap dirinya seolah ulama muktabar dan disatu pihak lain disana menjadi proffesor serba tahu lagaknya.
Kita sebagai rakyat telah memberikan mandat kepada ahli-ahli didalam permuafakatan tersebut dan DYMM sebagai Ketua Agama. Tugas dan tanggungjawab kita hanyalah patuh dan taat sahaja apa-apa yang diputuskan nanti tanpa banyak soal bicara. Biarkanlah mereka sahaja yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT kelak. Kepada rakan yang bukan Islam pula, kita percaya mereka akan sedar keindahan hukum Allah SWT tersebut memainkan peranannya nanti. Bukalah ruang dan berilah peluang untuk diri kita dan mereka yang menentang untuk mendapat kefahaman. Siapa lagi yang lebih tahu apa yang terbaik untuk manusia kalau tidak Sang Pencipta manusia itu sendiri.
Kedua belah pihak telah menyatakan sesuatu yang amat baik sebagai permulaan. Kita perlu sambut dan mengambil isi serta roh kenyataan yang telah dibuat tanpa prejudis dan menterjemahkannya didalam bentuk gerak strategi yang komprehensif. Sekiranya ada golongan yang menentang cadangan ini, kita boleh anggap bahawa mereka ini adalah golongan yang masih kurang kefahamannya atau mempunyai agenda kepentingan peribadi dan politik ataupun tidak perihatin kepada nasib anak cucu dikemudian hari.
Saya menyeru untuk kita sama-sama melupakan persengketaan lalu. Sampai bilakah kita mahu hidup bersengketa. Bak kata pepatah orang tua, ‘Buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih’. Renungkanlah juga kata-kata hikmat Malcolm X @ El-Hajj Malik El-Shabazz ini..
"There can be no black-white unity until there's first some black unity. We cannot think of uniting with others until we have first learned to unite amongst ourselves. We cannot think of being acceptable to others until we have first proven acceptable to ourselves”
Insyaallah, kita tak perlu bersengketa lagi dan yakinlah dengan sebenar-benar keyakinan bahawa Allah SWT akan membantu kita semua kerana kita semua berusaha membantu agama DIA. Wallahualam.