Ahad, 9 Oktober 2011

Harga tiket perlawanan suku akhir dinaikkan

Image Detail

Harga tiket bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Isnin depan (10 Oktober), akan dinaikkan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata harga tiket bagi tempat duduk berbumbung dinaikkan kepada RM25 berbanding RM20 sebelum ini manakala bagi tempat duduk terbuka RM15 (harga lama RM10).

Beliau berkata, harga tiket bagi perlawanan separuh akhir juga akan dinaikkan jika sekiranya Terengganu layak memasuki peringkat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, harga tiket bagi semua tempat duduk untuk musim depan belum diputuskan dan akan dibincangkan kemudian.

Beliau berkata, kenaikan harga tiket berkenaan diputuskan pada mesyuarat eksekutif PBSNT kelmarin.

“PBSNT berpendapat kenaikan harga ini akan tidak membebankan peminat bola sepak di negeri ini kerana ini merupakan kali pertama kita menaikkan harga tiket.


"Lagipun negeri-negeri lain telah menaikkan harga tiket masing-masing, kecuali Terengganu yang masih mengekalkan harga RM10 dan RM20," katanya.


Menurut Abdullah, pada mesyuarat itu juga PBSNT memutuskan untuk menjual tiket bagi perlawanan Isnin ini pada pagi Ahad di semua pintu masuk stadium, bagi mengelak kesesakan.

PBSNT akan menyediakan 10 peratus tiket kepada peminat pasukan Kelantan.

“PBSNT akan mengadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan semasa perlawanan itu,” ujar beliau.

Beliau meminta para penonton, khususnya peminat supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak membawa masuk sebarang objek ke dalam stadium bagi mengelak persatuan dihukum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...