Ahad, 9 Oktober 2011

MAJLIS PENYERAHAN KUNCI PROGRAM BANTUAN RUMAH (PBR) PERINGKAT NEGERI TERENGGANU


Marang 09/10/2011 - Majlis Penyerahan Kunci Program Bantuan Rumah (PBR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula Getah Peringkat Negeri Terengganu telah diadakan di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Marang pada 09/10/2011 jam 11.00 pagi. Majlis telah dilancarkan dengan rasminya oleh YB Dato' Haji Hassan bin Malek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.  Turut hadir YBhg. Dato' Ibrahim Muhamad, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ketua Pengarah RISDA Malaysia dan Pegawai Pembangunan DUN seluruh Negeri Terengganu.


Majlis yang diadakan adalah sangat bermakna kepada penerima bantuan rumah dan juga pekebun kecil Negeri Terengganu. Seramai 106 orang penerima bantuan rumah bina baru akan menerima sijil pemilikan rumah selain daripada peruntukkan pihak kerajaan yang telah diberikan kepada pihak RISDA sebanyak RM121 juta untuk memajukan tanah seluas 40,000 hektar diseluruh negara.


Untuk Negeri Terengganu seluas 1,500 hektar perlu ditanam semula oleh pekebun kecil yang mempunyai kebun yang sudah layak segera membuat permohonan kepada Pejabat RISDA Negeri dan Daerah di seluruh Terengganu.



Program Bantuan Rumah (PBR) bertujuan menyediakan rumah yang lebih selamat dan selesa didiami oleh golongan masyarakat yang miskin, warga tua, uzur, cacat dan ibu tunggal demi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. 



Sehingga September 2011, RISDA telah diperuntukkan sejumlah RM238,193,690.00 melibatkan 10,205 unit rumah sama ada bina baru atau baik pulih meliputi kawasan semenanjung kecuali Negeri Perak dan Kedah.


Pada tahun 2011 RISDA telah diamanahkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah untuk membina baru/baik pulih rumah sebanyak 894 unit yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM30,861,840.00.  Dari jumlah tersebut, sebanyak RM5,641,680.00 telah diperuntukkan untuk Negeri Terengganu bagi melaksanakan 213 unit membina baru/baik pulih rumah, dimana 131 unit untuk bina baru dan 82 unit untuk baik pulih.

RISDA Negeri Terengganu juga akan mengadakan Gerakan Kempen Tanam Semula Getah bermula Oktober ini hingga tahun 2012.  Kempen ini bertujuan memujuk pekebun kecil supaya tidak melewatkan usaha tanam semula kerana harga komoditi itu akan terus mampan sekaligus mampu menampung dan menjamin kehidupan golongan berkenaan pada masa akan datang.

Sejumlah RM13.8 juta telah diperuntukkan bantuan Tanam Semula Getah untuk memajukan tanah seluas 1,500 hektar.

Dengan penyerahan kunci Program Bantuan Rumah dan Pelancaran Kempen Tanam Semula Getah Negeri Terengganu, semua penerima dan pekebun kecil rasa bersyukur akan anugerah yang diberiNya.  Sesungguhnya, usaha murni kerajaan dan komitmen penerima PBR dan pekebun kecil khususnya amatlah diperlukan dalam membina masa depan yang lebih terjamin dan negara yang bersatu, aman dan harmoni.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...