Sewajarnya Datuk Husam Musa merujuk kes pemecatannya dari PAS yang “masih
disayanginya” itu kepada Pendaftar Pertubuhan ROS dan bukan menggunakan
pelbagai alasan dan ruang untuk terus mengkritik PAS.
Langkah ini
adalah lebih waras dan bijaksana memandangkan Husam menggunakan hujah bahawa pemecatannya itu tidak mengikut tatakelola dan perlembagaan parti.
Justeru
sebarang keputusan atau tindakan pimpinan parti sebagai sebuah pertubuhan
politik berdaftar dengan ROS mestilah dirujuk kepada pertubuhan berkenaan untuk
mendapat keadilan untuk dirinya.
Namun
sebaliknya Husam bertindak untuk menyelitkan kisah “penderaannya” itu dalam
setiap kesempatan untuk mencuri perhatian media khususnya seolah-olah mahu
terus mendedahkan “kepincangan” dalam PAS.
Walhal jika
menurut tatakelola disiplin PAS, Husam diberi kesempatan dalam tempoh tertentu
untuk membuat rayuan terhadap keputusan Lembaga Disiplin yang menggugurkan
keahliannya dalam PAS.
“Pendakwaan
dibuat secara tangkap muat dan ambil mudah, tidak berdasarkan kata- kata
sebenar dalam ucapan saya sebelum ini, selain atas alasan kerana menjadi saksi
dalam satu kes sivil selepas mahkamah mengeluarkan sapina kepada saya,” kata
Husam.