KUALA TERENGGANU: Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)
Terengganu akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing, pada jam 9.00 malam ini DI ISTANA SYARQIYYAH, BUKIT CHENDERING, di sini.
Pesuruhjaya
PAS Terengganu, Dato' Husain Awang berkata, pihak PAS Terengganu telah mendapat
perkenan mengadap baginda Sultan Terengganu pada malam ini.
"Pagi
tadi kami telah pun mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan
Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin), untuk mendapat tarikh dan masa bagi
membentuk kerajaan negeri yang baharu.
"Majlis
mengangkat sumpah (jawatan) Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan Negeri itu
akan diadakan pada malam ini di Istana Syarqiyyah, pada jam 9.00
malam," ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Kesatuan Ulama Islam
Sedunia (KUIS), Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Manakala
katanya, setelah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Terengganu, pemimpin baharu
kerajaan itu akan mula memasuki bangunan pentadbiran Wisma Darul Iman pada 14
Mei 2018.
"Kami
(PAS) akan adakan solat hajat dan majlis penyerahan tugas daripada bekas
Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Razif) kepada Menteri Besar yang baharu,
InsyaAllah.
"Kita
mahu mengambil-alih tugas dalam suasana tertib dan berakhlak serta penuh
mesra," jelasnya.
Menurut,
Dato' Husain bagi menyelaraskan dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan, maka
diumumkan pada hari Ahad nanti bersamaan 13 Mei 2018 sebagai cuti umum di
Terengganu," ujarnya.
Hadir
sama pada sidang media itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor
Hamzah dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid. -HARAKAHDAILY 10/5/2018