Sabtu, 19 Mei 2018

DR SAM BAWA PENDEKATAN SENDIRI DI TERENGGANU


KETEGASAN MELULU dalam pentadbiran sesebuah kerajaan bukan lagi menjadi budaya politik yang harus diikuti masa kini.
Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang perlu ialah AMALAN BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Samsuri berkata pendekatan tersebut perlu diambil sebagai iktibar sejarah kegagalan pentadbiran PAS di Terengganu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-10 lalu.
Ketika itu PAS hanya sempat mentadbir Terenganu selama satu penggal.
"PRU 1999 dengan PRU 2018 yang baru kita hadapi ini jauh berbeza.
"Jadi, untuk mengambil itu adalah suasana yang akan berlaku (dalam pentadbiran hari ini) tidak betul kerana sekarang ini kami mengamalkan politik yang lain," katanya ketika ditemui di Rusila, Marang, Terengganu, baru-baru ini.
Menyedari situasi sekarang berbeza Ahmad Samsuri berkata pendekatan politik matang dan sejahtera akan diteruskan termasuk semasa menguruskan negeri.
DULU KEADAAN TEGANG
Ahmad Samsuri berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemungkinan beliau akan menggunakan pendekatan yang pernah diambil Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menjadi menteri besar Terengganu pada 1999.
Abdul Hadi kemudian dilantik menjadi menteri besar.
Bagaimanapun kerajaan itu tumbang selepas PRU berikutnya iaitu pada 2004.
Kegagalan pentadbiran PAS ketika itu didakwa akibat campur tangan kerajaan pusat serta ketegasan kepimpinan Abdul Hadi.
Kini pada PRU ke-14 PAS sekali lagi berjaya mentadbir Terengganu selepas memenangi 22 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 14 pada PRU ke-13.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata kegagalan PAS ketika itu tidak boleh diambil kira.
Katanya, keadaan tersebut jelas berbeza.
"Kita tidak boleh bandingkan suasana 1999 dengan suasana sekarang kerana persekitaran politik ketika itu sangat tegang, dan tentangan politik juga sangat tegang," katanya.
Oleh demikian, Ahmad Samsuri berkata dalam pentadbiran yang baru ini beliau mengambil pendekatan lebih objektif bagi MENYELESAIKAN MASALAH DENGAN CARA LEBIH BERHEMAH tanpa memberi kesan kepada rakyat.
"Pendekatan kerajaan (hari ini) yang objektif kita untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang berhemah, cermat tanpa memberi kesan kepada rakyat hatta kepada pegawai dan agensi kerajaan.
"Sebabnya kesudahan objektif kita nanti ialah menjadikan ketidakstabilan itu pada tahap yang paling rendah kerana rakyat sudah muak dengan politik melampau, masalah mereka tidak selesai.
"Kita nak bergerak ke era baru dengan mengutamakan penyelesaian kepada rakyat," tambahnya mengakhiri perbualan bersama Malaysiakini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...