Sabtu, 3 November 2012

Perhimpunan Orang Melayu Sebelum ‘Perang Besar’ Bermula


KUALA LUMPUR, 2 Nov. – Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada penghujung bulan ini tentunya akan menjadi tumpuan dengan kehadiran anggota perwakilan dalam keadaan penuh bersemangat untuk berjuang dan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir. Idris Haron melihat bahawa persidangan ini adalah perkumpulan yang sangat bermakna bagi orang-orang Melayu melalui pertubuhan politik UMNO sebelum berdepan ‘perang besar’.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh perwakilan UMNO yang bakal hadir ke Perhimpunan Agung UMNO dan saya yakin kehadiran perwakilan kali ini merupakan kehadiran yang bersemangat kerana pastinya ini adalah persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelasnya perang besar yang dimaksudkan adalah PRU-13 iaitu UMNO bersama-sama BN akan menentang pakatan pembangkang dan mempertahankan kerajaan yang ada hari ini.
“Para perwakilan akan menunggu ucapan dasar daripada YAB Presiden parti dan akan menunggu juga buah fikiran daripada wakil-wakil pembahas yang akan berhujah kerana inilah peluang untuk bertukar-tukar fikiran bagaimana memantapkan jentera parti ke arah PRU ke-13 serta memastikan kesinambungan parti sebagai pilihan utama.”
Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, para perwakilan dalam persidangan ini akan meletakkan UMNO sebagai platform atau pelantar bagi berdepan PRU.
“Saya yakin dan percaya ucapan dasar akan mengukuhkan semangat ahli-ahli parti supaya mencari persamaan dan memperkecilkan perbezaan.
“Persamaan adalah untuk menang besar dalam PRU ke-13 manakala mengecilkan perbezaan ialah apabila kita bersatu padu, bersatu fikiran, bersatu hati dan bersatu tekad dengan menerima siapa juga bakal calon-calon yang mewakili parti UMNO akan kita isytihar sebagai winnable candidate,” katanya.
Tambah beliau, calon bagi UMNO akan disokong dengan mengatasi kepentingan peribadi, keluarga atau kumpulan tertentu.
“Semua calon-calon yang ditentukan oleh kepimpinan parti adalah calon yang akan dipastikan berjaya dalam PRU.
“Selamat datang, selamat berhimpun dan selamat bekerja kuat untuk menjamin kesinambungan kekuatan agama, bangsa dan negara.” - MediaUMNO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...