Isnin, 5 November 2012

Kekeliruan agama tidak wajar dibiar


Kekeliruan umat Islam hari ini khususnya berkaitan isu agama tidak seharusnya dibiarkan tanpa penjelasan.

Pendekatan yang diambil oleh Jabatan Mufti negeri dan agensi-agensi kerajaan lain dengan mengadakan pelbagai program untuk memberi dan meningkatkan pemahaman kepada masyarakat seharusnya dicontohi.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Y.B Haji Khazan Che Mat (gambar)kepada sidang media di Seminar Pendidikan Fatwa dan Falak Negeri Terengganu kali ke-2 bertempat di Dewan Majlis Daerah Setiu, baru-baru ini.


“Penganjuran seminar sebegini dapat mengelakkan kekeliruan dan dapat menjelaskan dengan lebih lanjut kekeliruan yang biasa berlaku dalam masyarakat kita terutamanya berkaitan istilah-istilah dalam agama Islam.

“Apabila sesuatu hukum dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kebiasaannya ia berdasarkan pada kajian yang mendalam, justeru sekiranya masyarakat kurang arif mengenainya maka akan timbul salah faham,” ujarnya.

Haji Khazan berkata, hukum hudud merupakan salah satu perkara yang masyarakat hari ini masih ramai yang keliru dan memerlukan penjelasan lanjut mengenainya.

“Dengan adanya seminar sebegini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan pertelingkahan antara orang ramai berkaitan isu hudud contohnya, melalui penjelasan yang diberikan oleh pakar atau orang yang arif mengenai ilmu agama,” ujar beliau.

Menurut Haji Khazan, tidak seperti zaman Rasulullah s.a.w,di mana tidak timbul soal pertelingkahan dan kekeliruan sesuatu hukum, masyarakat kita pada hari ini sentiasa memerlukan peringatan dan penjelasan kerana ada pihak-pihak tententu yang tidak bertanggungjawab cuba memutarbelitkan sesuatu hukum.

 “Saya berharap Jabatan Mufti negeri akan mengadakan seminar sebegini dari semasa ke semasa untuk menjelaskan sesuatu isu berkaitan agama yang mungkin timbul untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

 “Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan sentiasa merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang agama seperti Jabatan Mufti negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan agensi-agensi berkaitan sekiranya timbul kekeliruan terhadap sesuatu hukum atau fatwa yang disampaikan oleh pihak-pihak diragui,” katanya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...