Isnin, 12 November 2012

SURVIVAL MELAYU ISLAM


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Survival orang Melayu dalam berdepan gejala pluralisme dan liberalisme bergantung kepada kekuatan dan perpaduan bangsa berkenaan untuk menolak pemikiran yang mengelirukan agama Islam.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, kesucian agama Islam perlu dipertahankan kerana serangan halus yang mempersoalkan ajaran sebenar agama suci itu datang dari pelbagai sudut termasuk dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sendiri.

Menurut beliau, pemikiran yang mahukan hak kebebasan beragama diberikan kepada bangsa Melayu bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah merupakan agenda halus melemahkan akidah umat Islam di negara ini.

"Kita orang Melayu tiada pilihan lain untuk kesinambungan survival, kekuatan orang Melayu bukan terletak kepada kuasa, bukan kepada ekonomi tetapi kepada akidah. Selagi orang Melayu beragama Islam, selagi itu kita akan berjaya".

"Kita hendak beri peringatan, walaupun mereka mungkin berjaya menembusi segelintir orang Melayu yang bersedia melacurkan bangsa serta agamanya; dan dalam keadaan kami dikatakan lemah dan berpecah, 'kamu' kena ingat, kami bangsa Melayu akan tetap mempertahankan agama kami; dan tidak akan bergerak walau seinci pun," katanya.

Beliau berucap dalam Forum Kebebasan Bertukar Agama dari Sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini semalam.

Zulkifli yang merupakan salah seorang daripada ahli panel forum berkenaan mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin yang turut berdiri dengan penuh semangat melaungkan takbir Allahuakbar.

Selain Zulkifli, forum anjuran Perkasa itu dibarisi Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (Issi), Dr. Yusri Mohamad.

Majlis perasmian forum yang dihadiri setiap peringkat usia itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan manakala Ketua Program Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah merupakan moderatornya.

Menurut Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, kenyataan menyatakan bahawa orang Melayu wajar diberi hak kebebasan memilih agama selain Islam secara tidak langsung merupakan cadangan penghapusan bangsa Melayu kerana Perlembagaan menetapkan orang Melayu adalah beragama Islam.

"Bila mereka berkata orang Melayu diberikan hak kebebasan beragama, secara tidak langsung mereka mencadangkan penghapusan bangsa Melayu, sama ada mereka sedar atau tidak, sama ada mereka jahil atau sengaja berpolitik," katanya.

Sementara itu, Hasan dalam forum berkenaan berkata, kenyataan Nurul Izzah sama sekali tidak boleh diterima kerana menimbulkan kekeliruan kepada ajaran sebenar agama Islam yang hanya membenarkan hak kebebasan beragama kepada golongan bukan beragama Islam.

"Tiada jihad yang lagi besar daripada jihad memperjuangkan agama, tetapi kita lihat Pas hanya mendiamkan sahaja dalam perkara ini, Pas telah menjadi kaku dan beku kerana Pas bukan lagi berkata berkenaan jihad tetapi berkata berkenaan hak asasi manusia, demokrasi dan Putrajaya," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...