Ahad, 4 November 2012

Kerjasama Pembangkang Bersifat Sementara


KHARTOUM (Sudan), 2 Nov -  Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama pakatan pembangkang bersifat sementara dan sekadar mahu memenangi pilihan raya umum.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kerjasama yang rapat selama 55 tahun dan persefahaman, beliau berkata dalam pakatan pembangkang itu sendiri sebenarnya tiada persetujuan dan tiada perancangan masa depan.

“Kita harus ingat pakatan bukan gabungan. Pakatan adalah perjanjian secara tidak bertulis yang mahu bekerjasama melawan BN, itu sahaja,” katanya mengingatkan sesetengah pihak yang dilaporkan berhasrat memberi peluang kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana menganggap mereka seperti “BN”.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum kepada kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pelajar universiti, ahli akademik dan ahli korporat serata Sudan pada Khamis, Dr Mahathir berkata pembangkang tidak mempunyai agenda pembangunan negara, jauh sekali mahu menjaga kepentingan rakyat.

“Yang dijanji nak naik 20 peratus royalti kepada kerajaan negeri. Jadi, negeri-negeri lain yang tiada minyak akan kerugian dan ini bermakna negeri yang ada minyak sahaja boleh dibangunkan.

“Sekarang ini pun, dengan lima peratus (royalti) yang kita (kerajaan) bayar, mereka begitu kaya sekali, jauh lebih kaya daripada negeri-negeri lain,” kata beliau.

Mengulas mengenai “kabinet bayangan” pakatan pembangkang yang dikatakan masih kabur, Perdana Menteri Malaysia keempat itu berkata ia perkara biasa.
“Mereka mempunyai cita-cita untuk memerintah Malaysia. Justeru itu, mereka perlu bentuk apa yang dipanggil sebagai kabinet bayangan tapi dia bayang sahajalah.

“Mereka sukar untuk memilih pemimpin kerana masing-masing hendak jadi pemimpin. (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim ingat dia akan menjadi perdana menteri tetapi orang lain pun ada cita-cita besar juga,” katanya.

Beliau berkata dengan menjanjikan untuk mengadakan 10 hingga 15 jawatan timbalan perdana menteri dalam kabinet bayangan hanyalah sekadar umpan bagi parti-parti pembangkang untuk bekerjasama.

Sebuah akhbar asing baru-baru ini melaporkan kepentingan Anwar dalam kabinet bayangan masih kabur, disebalik telah beberapa kali menyatakan hasratnya itu sejak pilihan raya umum 2008.

Menurut laporan itu, model kabinet bayangan, yang biasanya terdapat di Britain dan Australia, membariskan menteri Kabinet masing-masing dan memainkan peranan untuk mengkritik kerajaan sedia ada dan dasar-dasarnya, dan pada masa yang sama menawarkan cadangan penyelesaian.

Dr Mahathir yang tiba di Khartoum pada Rabu, terdahulu merasmikan Forum Perdagangan dan Pelaburan Malaysia Sudan di sini.

Beliau berlepas ke Oman hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...