Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1434 Hijrah/2012 Masehi, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 pagi, esok (15 November).
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.
Sambutan Maal Hijrah pada kali ini membawa tema `Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ akan diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh qari jemputan dan diikuti dengan ucapan Menteri Besar.
Majlis kemudiannya disusuli dengan persembahan nasyid dan penyampaian anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah serta pelbagai anugerah bersempena kedatangan hari penting dalam sejarah Islam itu.
Sebelum itu, kira-kira jam 5.30 petang ini, Menteri Besar dijadualkan akan ke Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Penceramah terkenal, Ustaz Syed Nur Hisham Tuan Padang akan menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.
Selesai doa akhir tahun, jemaah akan menunaikan solat maghrib berjemaah dan diikuti doa awal tahun, solat hajat dan bacaan Yasin serta al-Quran.
Menteri Besar kemudiannya turut menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Maal Hijrah 1434 Hijrah/ 2012 Masehi.
Sumber:teganukita