Khamis, 29 November 2012

UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM


Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.
Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?
Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.
Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.
Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...