Ahad, 11 November 2012

Hayati konsep merakyatkan pentadbiran


Kakitangan awam di negeri ini perlu menghayati konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Demikian ditegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Meraikan Persaraan Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri (PPAT) 2012 baru-baru ini.


Menurutnya, seseorang yang dilantik sebagai penjawat awam perlulah sentiasa mengutamakan kehendak dan kepuasan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

“Sebagai contoh, kakitangan yang berkhidmat di PPAT khususnya di bahagian kaunter perkhidmatan yang selalu berhubung dengan orang ramai yang kebiasaannya terdiri daripada pelajar hendaklah sentiasa mempamerkan senyuman supaya mudah didekati golongan sasaran.

“Kebiasaan anak-anak remaja akan lebih selesa sekiranya kakitangan awam menunjukkan sikap ingin membantu dan ini sekaligus dapat menarik mereka datang ke perpustakaan seterusnya memenuhi hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan kecemerlangan anak Terengganu,” ujarnya.

Katanya, kakitangan awam juga hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni serta jauhkan sikap pentingkan diri apatah lagi untuk kepentingan peribadi.

 “Jujur, amanah dan integriti antara sifat yang perlu diamalkan oleh seseorang kakitangan awam supaya produktivi kerja yang mereka tunjukkan akan dihargai serta diberi ganjaran oleh pihak atasan.

 Katanya, dalam usaha membantu kerajaan memodenkan perkhidmatan awam, mereka juga perlu berpengetahuan tinggi terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Justeru, segala kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan boleh digunakan sebaik mungkin oleh penjawat awam untuk memajukan diri,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...