KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pakatan Pembangkang hari ini dilihat membawa pendekatan politik Machiavelli di mana matlamat menghalalkan cara di mana apa jua cara akan digunakan oleh gabungan parti-parti tersebut bagi menjayakan agenda mereka untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional dan menguasai Putrajaya.
Menurut Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat, ini dapat dilihat dari segi kempen politik Pakatan Pembangkang di mana mereka sentiasa mengulang-ulang isu dan provokasi terhadap UMNO dan BN biarpun sesuatu isu itu tidak jelas kesahihannya.
“Dalam usaha Pakatan Pembangkang untuk memenangi PRU ini, kita boleh lihat secara keseluruhan pendekatan kempen yang dilakukan oleh mereka di mana secara jelas mengambil pendekatan politik berdasarkan teori politik Machevelli, demi mencapai matlamat mereka untuk menawan Putrajaya.
“Apa yang penting ialah, mereka mahu meyakinkan kepada ahli dan rakyat bahawa perjalanan mereka menuju ke Putrajaya makin jelas. Ini membuatkan parti-parti dalam Pakatan Pembangkang, termasuk Pas sanggup mengenepikan isu yang merosakkan hubungan mereka serta pertembungan-pertembungan idea dan prinsip sesama mereka, termasuklah isu-isu agama,” jelasnya kepada UMNO-Online hari ini.
Menurut Shamsul, Pakatan Pembangkang menganggap pilihanraya kali ini adalah satu peperangan dalam menentukan survival politik mereka. Justeru itu, segala cara, biarpun di dalam agama menganggap itu sebagai satu penipuan, sanggup dilakukan kerana bagi mereka itu adalah satu strategi untuk menjayakan matlamat mereka menawan Putrajaya.
“Mereka sedar bahawa UMNO sebenarnya merupakan sebuah parti yang kuat, lebih kuat dari Pas, DAP dan PKR dari segi sejarah dan falsafah perjuangannya. UMNO juga hari ini telah terbukti memperjuangkan Islam d negara ini secara praktikal.
“Sebab itu kita lihat hari ini Pas menyerang UMNO dan BN dengan begitu ekstrim dan secara habis-habisan melalui apa jua kaedah, dengan harapan bahawa gelombang Pas mampu untuk menggantikan UMNO sebagai wakil kepada suara bangsa Melayu dapat disemarakkan di kalangan rakyat, terutamanya terhadap pemikiran bangsa Melayu di negara ini” ujarnya.
Namun, beliau berpendapat tidak semestinya keseluruhan rakyat, terutama yang terdiri dari golongan atas pagar dapat menerima cara dan pendekatan politik yang diambil oleh Pas yang memungkinkan segala cara untuk menjatuhkan UMNO dan BN untuk menawan Putrajaya.
“Pengundi atas pagar, atau kuasa ketiga ini merupakan pengundi-pengundi bijak. Pengundi-pengundi yang bijak, mereka akan mengundi berasaskan kestabilan. Ini adalah realiti di dalam sesebuah negara. Mereka akan melihat rekod-rekod pentadbiran sesebuah parti, di mana adakah parti tersebut dapat memberi jaminan untuk masa depan mereka dan keluarga.
“Dari sudut sosiologi pula, kita dapati pengundi-pengundi wanita contohnya dua kali ganda akan mengundi berasaskan kestabilan. Dan ini merupakan kekuatan UMNO dan BN di mana rekod dan kejayaan BN dalam mentadbir negara selama ini telah berjaya mewujudkan kestabilan dan keselesaan kepada rakyat di negara ini.
“Taraf kehidupan rakyat di bawah pemerintahan UMNO dan BN juga kini dilihat amat membanggakan, bahkan indeks kebahagian negara memperlihatkan Malaysia berada di dalam kedudukan 10 tertinggi di antara ratus negara sepertimana kajian yang dibuat oleh badan-badan kajian di luar negara yang dipercayai,” ujarnya.
Jelasnya lagi, rakyat harus menilai apakah dengan pendekatan-pendekatan berbentuk ekstrim yang dilakukan oleh Pas, DAP dan PKR, dapat memberikan jaminan terhadap masa depan rakyat dan negara pada masa akan datang.
“Berdasarkan pendekatan ekstrim dan ideologi matlamat menghalalkan cara ini, apakah rakyat di negara sudah bersedia untuk untuk menggadaikan kestabilan negara yang sudah sedia stabil hari ini dan bertindak untuk mempercayai sebuah pakatan parti politik yang tidak mempunyai sebarang rekod dalam pentadbiran negara, untuk mentadbir negara?” akhiri beliau.