Selasa, 9 Februari 2016

Ombak Besar: Tiga Pusat Pemindahan Dibuka Di Kemaman

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) -- Tiga pusat pemindahan kini dibuka di Kemaman berikutan kejadian fenomena ombak besar dan angin kencang di daerah itu Ahad malam tadi hingga merosakkan rumah penduduk terbabit.

Menurut jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kemaman, Muhd Azeri Shakri, seramai 70 mangsa terdiri daripada 13 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan terbabit berikutan kawasan kediaman mereka turut terhakis dan berbahaya untuk diduduki.

"Mangsa-mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan Balairaya Lama Pekan Kemasik (38 daripada tujuh keluarga), Surau Haji Ali (sembilan daripada dua keluarga) dan pusat pemindahan Dewan Geliga Baru (23 orang daripada empat keluarga)," katanya di sini, Isnin.



Sementara itu, jurucakap Sekretariat JPBD Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata kejadian ombak besar turut berlaku di Kampung Mengabang Telipot.

"Tiada yang dipindahkan lagi, bagaimanapun penduduk kawsan terbabit diminta sentiasa berhati-hati dan sebaiknya berpindah ke tempat lain yang lebih selamat kerana dijangka ombak setinggi 1.5 meter akan melanda malam ini.

"Jabatan Pertahanan Awam Malaysia juga terus memantau keadaan di sini dan menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...