MARANG - Lebih 100 penduduk tinggal di pesisir Pantai Rhu Renggeh hingga ke Pantai Kelulut di sini, semakin bimbang apabila kawasan pantai di kawasan berkenaan terus diancam hakisan setiap tahun.
Pesisir pantai sepanjang lebih kurang lapan kilometer itu turut membabitkan pusat memproses hasil makanan laut, gerai, restoran dan rumah penduduk di Pantai Rusila, Pantai Rhu Dua dan Pantai Rhu Muda.
Keadaan pantai di sepanjang pantai itu semakin hari semakin ‘ditelan’ air laut apabila banyak perubahan berlaku akibat hakisan sekali gus merosakkan keindahan pantai dan mengurangkan kehadiran pelancong.
Senario tersebut membimbangkan mereka yang mungkin berhadapan kerugian malah keadaan air pasang besar yang biasanya berlaku pada awal dan akhir tahun juga mampu untuk merobohkan kedai dan rumah mereka.
Seorang peniaga hasil makanan laut di Rhu Renggeh, Abu Bakar Awang, 46, berkata, mereka bergantung dengan kunjungan pengunjung dari luar namun pengunjung kini dilihat semakin berkurangan kerana pelbagai faktor.
“Antaranya, pantai di sini semakin terhakis dan mungkin ia antara penyebab kekurangan pengunjung dan kami berharap suasana di pantai peranginan ini kembali seperti dulu yang sentiasa dipenuhi orang ramai,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri perlu sedar dengan kebimbangan penduduk yang terancam dengan ancaman hakisan pantai dan perlu berusaha membantu menyelesaikan masalah seterusnya mengatasi masalah hakisan.
“Dalam isu ini, bukan hanya peniaga terpaksa menanggung kerugian tetapi kerajaan negeri juga terkena tempias berikutan keindahan kawasan pantai tidak lagi mampu untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mahani Abd Rahman, 43, pula berkata, penyediaan banteng pasir di kawasan pantai juga tidak secara menyeluruh kerana ada tempat yang tidak disediakan dengan benteng pasir.
Ibu enam anak itu berkata, kediaman yang dihuni sejak lebih 21 tahun lalu itu kini berdepan dengan masalah hakisan dan bimbang sekiranya masalah itu diabaikan, rumahnya bakal menjadi mangsa dihanyutkan ombak.
Di Kelulut pula, kebanyakan penduduk di kawasan pantai berkenaan mendakwa tidak dapat tidur lena khususnya pada awal dan akhir tahun iaitu ketika fenomena ombak besar melanda kerana bimbang keselamatan mereka.
“Kebanyakan rumah penduduk di Pantai Kelulut kini hanya beberapa meter dari laut. Jika masalah hakisan pantai ini tidak dibendung tidak mustahil perkampungan kami ini lenyap ditelan ombak,” kata, Ahmad Awang, 60.
Sehubungan itu, peniaga dan penduduk yang ditemui itu menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil langkah proaktif mencari jalan terbaik agar keindahan pantai dan kegiatan ekonomi penduduk dapat dikekalkan.
Dalam pada itu, Setiausaha Adun Rhu Rendang, Wahab Osman berkata, kawasan pantai dalam Dun Rhu Rendang telah menerima kesan hakisan sejak berpuluh tahun lagi dan menjadi bertambah ‘parah’ pada setiap tahun.
“Perkara ini juga sudah diketengahkan dalam Sidang Dun oleh wakil rakyat namun sehingga kini masih belum ada tindakan secara menyeluruh dilakukan dan penduduk amat berharap masalah hakisan ini dapat diatasi,” katanya.
Sumber: KLIK DISINI