DUNGUN - Kerajaan negeri
Terengganu akan menyediakan tapak penempatan baharu kepada pemilik rumah yang
terjejas akibat fenomena ombak besar dan angin kencang di Kampung Pantai Laut
Paka.
Pegawai
Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam berkata tapak penempatan baharu
seluas 10 ekar itu terletak di Kampung Telaga Mas dekat Paka di sini, yang
lebih selamat dari ancaman hakisan itu.
"Kerajaan
negeri sedang meneliti senarai mereka yang layak untuk mendapat rumah baharu di
tapak penempatan itu dengan keutamaan diberi kepada rumah di pesisir pantai
yang terjejas hakisan serta rakyat miskin di sekitar Paka.
"Tapak
penempatan itu boleh memuatkan 40 keluarga. Kita akan bekerjasama dengan jabatan
dan agensi kerajaan berkaitan untuk menyediakan kemudahan prasarana sesuai di
kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah penduduk yang
rosak akibat hakisan di Kampung Pantai Laut Paka di sini, hari ini.
Pada masa
ini, terdapat kira-kira 50 rumah di kampung itu dengan 10 daripadanya berisiko
runtuh akibat hakisan di sekitar pesisir pantai tersebut. - Bernama