KUALA LUMPUR – Mufti dan ulama Islam menasihatkan
wakil rakyat Parti Islam SeMalaysia (Pas), Mohd. Khairuddin Othman, 45, agar
memohon keampunan dengan cara bertaubat kepada Allah selepas mengenakan pakaian
menyerupai Dewa Rezeki berjanggut panjang pada Isnin lalu.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Osman
berkata, pakaian yang mempunyai unsur ketuhanan agama lain adalah berdosa dan
haram untuk dipakai oleh orang Islam.
Menurut beliau, perkara tersebut adalah berdasarkan
hadis Rasulullah yang menyatakan pemakai pakaian yang menyerupai sesuatu kaum
adalah sebahagian daripada kaum tersebut.
“Sebagai muslim, pakaian seperti Santa Claus, sami
Buddha dan dewadewa agama lain memberi gambaran kerosakan akhlak pemakai
tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Rahman menegaskan, pakaian itu boleh membawa kepada
pemahaman umum yang melihat pemakainya adalah seorang bukan muslim,
memandangkan pakaian tersebut tidak sinonim dalam masyarakat Islam.
Tambah beliau, sekiranya sesuatu pakaian itu tidak
mempunyai kaitan dengan sesuatu agama, maka perkara tersebut dibenarkan.
“Orang Islam dibenarkan memakai pakaian seperti tali
leher atau pakaian tradisional kaumkaum lain yang tidak mempunyai perkaitan
dengan agama atau kepercayaan lain kerana pakaian berkenaan tidak menafikan
keislaman seseorang,” tambah Rahman.
Pendapat tersebut turut disokong Mufti Kelantan, Datuk
Muhd. Shukri Muhammad yang menyatakan seseorang yang melakukan perkara tersebut
harus memohon keampunan dengan cara bertaubat kepada Allah.
“Perbuatan tersebut tidak sampai jatuh syirik, namun
hukumnya haram dan pelaku tersebut dikira berdosa,” katanya.
Beliau berkata, pakaian yang tidak melibatkan unsur
keagamaan adalah dibenarkan seperti memakai pakaian cheongsam atau sari.
Kosmo! semalam melaporkan, Setiausaha Pas Selangor
yang juga Ahli Dewan Undangan Paya Jaras memohon maaf selepas dikritik kerana
memakai pakaian menyerupai Dewa Chai Sen pada majlis Tahun Baru Cina di Wangsa
Permai, Sungai Buloh Isnin lepas.