Ahad, 21 Februari 2016

Amaran MB Kepada Skuad Penyu Dan The Titans

Kerajaan Terengganu memberi amaran kepada Skuad Penyu dan The Titans agar kedua-dua pasukan bola sepak negeri itu membaiki mutu permainan pada saingan musim ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sekiranya kedua-dua pasukan gagal menyerlah pada perlawanan akan datang, mereka bakal dikenakan tindakan sewajarnya oleh kerajaan negeri.
“Kita akan tengok kepada perlawanan akan datang, kalau tidak menunjukkan pencapaian yang baik, kita akan kurangkan peruntukan yang kita janjikan kepada kedua pasukan.

“Kerajaan negeri telah bagi komitmen dengan memastikan bayaran gaji tidak akan bermasalah, justeru kita tengok pencapaian mereka dari semasa ke semasa dan ambil tindakan yang sepatutnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas mengenai mutu permainan pasukan bola sepak negeri di Majlis Penutup Program Warga Kerja Pendidikan Sekolah-Sekolah Dalam DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras DUN Seberang Takir, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.
Katanya, sekiranya sukan bola sepak tidak menunjukkan potensi cemerlang, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan sukan itu dalam senarai empat kluster sukan yang beri perhatian utama.
“Kita akan lihat kalau bola sepak tidak menampakkan satu potensi, kita tidak akan beri tumpuan kepada bola sepak dan menggantikan dengan sukan lain.
“Setakat ini, menerusi Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu, fokus utama kita kepada bola sepak, hoki, berbasikal dan kuda lasak,” ujarnya


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...