NARATHIWAT: Sebutir roket buatan sendiri
jatuh di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Gajah Mati, Bachok di sini tidak
lama selepas ia dilancarkan oleh pihak tidak dikenali di wilayah bergolak
selatan Thailand itu.
Ketua Polis
Daerah Bachok Kolonel Polis Patta Madawa berkata kejadian itu berlaku kira-kira
12.30 tengah malam Khamis tetapi polis hanya mula melakukan siasatan pagi
Jumaat.
Beliau
berkata unit pemusnah bom mengambil masa 10 minit untuk memindahkan keluar
roket buatan sendiri itu dari rumah berkenaan untuk dimusnahkan di sebuah
padang bola sepak berhampiran.
"Roket
buatan sendiri itu seberat 10kg turut diisi dengan bebola besi," katanya
kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau berkata pihak keselamatan
turut menemui tapak pelancaran roket itu serta peralatannya.
Menurut
Patta, pelancar roket buatan sendiri itu diperbuat daripada paip PVC dan
terletak di dalam tanah digali kira-kira satu meter dari permukaan serta
diaktifkan menggunakan wayar.
Polis,
menurutnya, percaya pelancaran roket buatan sendiri semalam itu dilakukan pihak
tertentu untuk menguji keberkesanan senjata terbabit, malangnya ia terjatuh di
rumah penduduk kampung.
Penduduk
kampung terbabit bernasib baik kerana roket buatan sendiri itu tidak meletup,
kata beliau.
Kejadian
pada Khamis itu menyusuli penemuan sebutir roket buatan sendiri pada 28 Januari
di kawasan Nongchik, Pattani yang dipercayai menyasarkan Kem Ingkayuthaborihan
dan lapangan terbang milik tentera di kawasan tersebut.
Pasukan
keselamatan Thai percaya roket buatan sendiri bakal menjadi ancaman baharu
kepada penempatan-penempatan pasukan tentera termasuk kem dan markasnya di
wilayah konflik selatan negara itu.
Baru-baru
ini, sebuah daripada kumpulan pembebasan di Pattani memberi amaran menerusi
kenyataan bahawa mereka bakal menyerang kem-kem pasukan keselamatan Thai di
selatan Thai menggunakan 'peluru berpandu' bersempena sambutan ulang tahun
ke-48.
Barisan
Pembebasan Pattani Bersatu juga meminta orang awam tidak mendekati kem-kem dan
penempatan pasukan keselamatan Thai. - BERNAMA