Ahad, 7 Februari 2016

Denggi : Korban Ke-6 Di Terengganu

Satu lagi kematian akibat demam denggi dicatatkan di Terengganu dalam tempoh hampir empat minggu pada tahun ini, dengan menjadikan jumlah korban meningkat kepada enam orang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kes kematian terbaru itu melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun, berasal dari Selangor dan menetap di Dungun.
Katanya, mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah meninggal dunia, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

“Manakala seoarang lagi mangsa yang juga calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu dilaporkan kritikal, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
“Bagaimanapun berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan, jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan akibat wabak itu telah berkurangan kepada 30 hingga 40 kes sehari dalam minggu ini berbanding minggu lalu 60 hingga 65 kes sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Gotong Royong Membanteras Aedes peringkat negeri di perkarangan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Speaker DUN, Dato’ Zubir Embong;  Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.
Lebih 1,000 penduduk termasuk Skuad Sukarelawan TTB, kakitangan pelbagai agensi dan pelajar bersama-sama menyertai program itu yang melibatkan beberapa lokaliti, termasuk Panji Alam, Bukit Kecil, Bukit Besar, Jalan Kamarudin dan Jalan Terkukur.
Ahmad Razif memberitahu, peningkatan kes denggi sepanjang tahun ini sangat ketara membabitkan 560 mangsa telah mendapat rawatan di hospital-hospital seluruh Terengganu berbanding hanya 142 mangsa bagi tempoh sama tahun lalu.
“Maklumat itu menunjukan peningkatkan sehingga 293 peratus dan ini sangat serius,” katanya.
Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...