Pendekatan yang dilaksanakan oleh pakatan pembangkang dalam usaha untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak menjadi apabila tembelang mereka yang berpaksikan lontaran fitnah ditolak dalam masyarakat.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menegaskan bahawa rakyat mahukan pemimpin dan kerajaan yang telus dan jujur dengan melaksanakan tanggungjawab tanpa agenda jahat.
“Pakatan pembangkang ini tidak ada kerja lain yang dilaksanakan apatah lagi dalam usaha mereka untuk meruntuhkan BN dengan cara bercakap bohong dan membuat fitnah pada kerajaan pusat dan pemimpinnya,” katanya kepada UMNO-Online.
Dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir 1 Disember lalu, para perwakilan dan anggota parti sepakat menyahut slogan ‘1Malaysia Tolak Fitnah’ bagi menghadapi kerenah pakatan pembangkang yang banyak melemparkan tuduhan-tuduhan palsu.
“Benarlah apa yang kita laksanakan kerana fitnah pembangkang bukan sedikit malah di Pulau Pinang sendiri pelbagai kata-kata bohong diberikan kepada rakyat dengan pemimpin pusat dituduh dengan perkara yang tidak benar.
“Namun sampai bila mereka boleh berbohong dan terus melemparkan fitnah kerana semuanya sudah nyata yang mana benar dan yang mana salah,” katanya.
Dalam hal ini beliau merujuk kepada pelbagai agenda yang telah dilaksanakan oleh pakatan pembangkang sebagaimana pembohongan 16 September bahawa kononnya ada ahli-ahli BN yang telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib dan akan beralih sokongan kepada pembangkang untuk membentuk kerajaan baru.
“Kita buat kerja, jalankan tanggungjawab tanpa peduli dengan apa yang mereka taburkan tapi dalam masa yang sama kita berdepan dengan rakyat, memberi penerangan, menjawab semua tuduhan-tuduhan palsu serta memberi penjelasan berkaitan kesungguhan kerajaan kepada kemajuan negara dan rakyat,” katanya.
Ujarnya, pakatan pembangkang tentunya sedar bahawa sokongan kepada mereka semakin pudar dan pasti akan ada tuduhan serta fitnah baru untuk dilemparkan sebagaimana isu kapal selam scorpene, peribadi pemimpin tertinggi dan juga badan beruniform dipolitikkan.
“Rakyat sudah mula sedar dan dapat membezakan antara kebenaran kerana ketika fitnah dan pembohongan berleluasa sebagaimana menjelangnya pilihan raya 2008 lalu tentunya rakyat keliru hingga beralih menyokong pembangkang.
“Tetapi hari ini situasinya berbeza dan sokongan rakyat kepada kepimpinan BN sudah semakin menyerlah.”
Dalam hal ini beliau menyorot bagaimana sambutan masyarakat Pulau Pinang yang sememangnya sudah muak dengan pembangkang menyambut kedatangan Perdana Menteri Sabtu lalu dalam majlis pelancarkan Karnival Jelajah Janji Ditepati bagi negeri terbabit.
“Dalam program tersebut lebih 40,000 masyarakat Pulau Pinang berkumpul dan mendengar ucapan PM yang mengingatkan mereka tentang pencapaian BN untuk rakyat dan negara serta apa yang akan dilaksanakan untuk masa depan rakyat.
“Ini bukan pembohongan, bukan fitnah dan penipuan tetapi realiti telah dibuktikan bahawa yang benar-benar bekerja untuk rakyat adalah BN sedangkan yang pandai bercakap dan membuat tuduhan adalah kerajaan pimpinan pembangkang.”
Namun demikian, beliau menyeru masyarakat khususnya jentera parti agar tidak bersikap lewa dan berasa selamat dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat kepada kepimpinan tertinggi dalam parti.
“Kita perlu terus bekerja dan berusaha dengan memastikan setiap fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada BN/UMNO dan pemimpin-pemimpinnya dijawab selain ketulusan dan keikhlasan dalam bekerja.” – MediaUMNO