Isnin, 24 Disember 2012

PAS hanya parti Islam pada nama


“PAS hanya sebuah parti Islam pada nama dan sudah jauh terkeluar daripada landasan  perjuangan asal apabila ia tidak lagi memikirkan kepentingan orang Melayu dan Islam, kata Dato Mohd Nakhaie Haji Ahmad.

Dalam satu temubual bersama Agendadaily baru-baru ini, Nakhaie berkata, perjuangan PAS sekarang hanya untuk mendapatkan kuasa dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada politik.

“Apabila kita melihat kepada satu nama seperti Parti Islam SeMalaysia – nama itu tak semestinya menggambarkan parti Islam yang sebenarnya apabila dilihat dari segi perjuangan, akhlak, pergaulan dan sikap mereka dalam menghadapi pelbagai isu kehidupan.

“Bagi saya, PAS tidak memiliki ciri-ciri keIslaman dan hanya menggunakan nama islam sebagai satu jenama yang difikirkan berpengaruh,” kata Nakhaie yang mengakui perjuangan PAS sekarang berbeza dengan ketika mula-mula diasaskan dulu.

Katanya pemimpin PAS yang terdahulu seperti Dr Burhanuddin Helmi dan Prof Datuk Zulkifli Muhammad jujur berpegang kepada tiga elemen, iaitu agama, kedua, bangsa dan tanahair.

Menurutnya pemimpin-pemimpin itu sering mengingatkan siapa lagi yang akan mendukung Islam jika bukan bangsa Melayu. Katanya mereka sering mengingatkan Islam dan tanahair tidak boleh dipisahkan kerana ia milik bangsa Melayu.

“Pada waktu itu perjuangan PAS begitu jujur. Dr Burhanuddin dan Zulkifli memberi penerangan dengan jelas tanpa memaki hamun atau tuduh menuduh orang.

“Tetapi selepas zaman-zaman akhir, saya melihat perubahan telah berlaku dan elemen-elemen ekstrimis dan pengaruh luaran sudah masuk ke dalam PAS sehingga parti itu bioleh menerima fahaman seperti Syiah dan yang seumpamanya,” kata bekas Naib Presiden PAS itu.

Nakhaie berkata kepimpinan ulama yang diperlihatkan pada masa sekarang adalah tiruan daripada kepimpinan ulama di Iran setelah berlaku revolusi. Tetapi katanya di kalangan pemimpin PAS, tidak ada seorang pun yang layak dipanggil ulama.

“Ulama diukur daripada karya ilmiah dan saya tidak nampak di kalangan pemimpin PAS yang memilkinya. Memang ada yang keluarkan buku tetapi ia lebih merupakan dakyah politik yang ditulis oleh kakitangan pegawai-pegawai mereka berdasarkan ceramah-ceramah yang dilakukan secara spontan. Ini tidak boleh sebagai karya ilmiah yang boleh dijadikan rujukan,” katanya.

Nakhaie berkata, PAS sudah tersasar jauh daripada perjuangan asal kerana parti itu tidak lagi memikirkan kepentingan orang Melayu. Katanya PAS juga telah menolak perjuangan untuk menegakkan atau memajukan orang Islam.

“Sebaliknya perjuangan PAS hanya untuk mendapatkan kuasa semata-mata dan tumpuan sepenuhnya lebih kepada soal-soal politik. Atas sebab itu saya tidak melihat PAS sebagai parti Islam yang sebenarnya. Ia hanyalah slogan. Ia hanyalah nama yang tidak mempunyai isi dan kandungan Islam yang sebenarnya.”

Diminta mengulas mengenai kewujudkan perpecahan atau sikap berpuak-puak di dalam parti berkenaan, Nakhaie berkata, puncanya kerana PAS sekarang tidak mempunyai pemimpin ulama sejati.

“Ia dianggotai atau dikuasai oleh golongan yang lebih berkeinginan untuk berkuasa dan menggunakan parti untuk mencapai matlamat mereka. Oleh sebab itu, elemen Islam dalam PAS berteraburan dan pelbagai elemen masuk ke dalamnya termasuk golongan Syiah yang sanggup berdiam diri terhadap fahaman pluralisma dan liberalisma.

“Ini antara penyelewengan besar yang berlaku dalam PAS sekarang. Itulah sebabnya mereka mudah menerima fahaman atau saranan dari DAP mahupun Keadilan sehinggakan kita dapat melihat PAS sudah tidak ada pendirian, seolah-olah mereka mengikut logik parti-parti itu.”

Nakhaie berkata ketika PAS dipimpin oleh Dr Burhanuddin dan Zulkifli dulu, ia begitu tegas dalam soal disiplin. Contohnya pada tahun 70an, PAS telah memecat seorang Ahli Parlimen PAS dari Parit yang menari dalam satu majlis di lobi parlimen kerana perlakuannya dianggap melanggar etika parti.

Tetapi sekarang, katanya, PAS langsung tidak mengambil tindakan terhadap pemimpin atau ahlinya yang berfahaman syiah dan liberal.  Sikap kurang tegas pemimpin utama PAS juga menjadi punca wujudnya golongan Erdogan.

Nakhaie bersetuju PAS kini mengikut telunjuk DAP dan Keadilan kerana parti itu kini tidak lagi mempunyai prinsip perjuangan, sebaliknya menerima kekuatan logik daripada parti-parti berkenaan. – 22/12/2012 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...