KUALA LUMPUR 30 Nov – Konsep permuafakatan Barisan Nasional (BN) dalam membela rakyat negara ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi malah aspek keihlasan yang menjadi tunjang kepada gabungan berkenaan membolehkan ianya terus mendapat kepercayaan rakyat.
Pengerusi Sekretariat Perhubungan NGO, Datuk Sufian Awang berkata penekanan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib dalam ucapan dasarnya semalam yang turut menyentuh soal berkenaan menjelaskan segala-galanya kepada umum.
“Apa yang diperkatakan oleh Presiden bahawa UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional ada asasnya dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Katanya berbanding BN, komitmen dan asasnya cukup jelas dan ditambah pula dengan berpaksikan kepada keikhlasan, parti itu jauh lebih ke depan berbanding parti pembangkang.
“Berbeza dengan BN pada hari ini, komitmen yang diberikan dan hala tuju yang dibentuk oleh BN dalam bentuk muafakat sebenarnya satu hala tuju yang jelas khususnya untuk membina dan juga rangka perkara-perkara serta pembangunan yang mendahulukan rakyat.
“Sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden sewaktu menyampaikan ucapan dasar, satu persatu Datuk Seri Najib memberi bukti yang jelas di mana apa juga bentuk yang dijanjikan pentadbiran pembangkang baik di Kedah, Selangor dan mana-mana jua hanyalah janji kosong dan tidak akan ditunaikan. Berbeza dengan BN setiap apa yang dilafazkan dikotakan.
“Saya berpendapat tibalah masa kepada semua rakyat untuk betul-betul memilih kerajaan dan ini bukanlah ujikaji dan eksperimen yang dibuat kerana ini saat yang paling penting sekali sama ada untuk meneruskan pembangunan negara atau menghancurkan negara sekiranya pilihan kita kali ini tidak tepat,“ katanya. -MediaUMNO