KUALA LUMPUR - Musim Monsun Timur Laut di negara ini bermula semalam dan dijangka berakhir pada minggu ketiga Mac 2014.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, episod hujan lebat pertama dijangka berlaku sekitar minggu ketiga bulan ini.
Ia menjelaskan bahawa pada musim ini, negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami empat hingga lima episod hujan lebat yang menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari.
Keadaan itu boleh mengakibatkan kejadian banjir di negeri-negeri pantai timur dan kawasan selatan Semenanjung pada bulan ini dan Disember serta Januari 2014.
Kejadian sama boleh berlaku di bahagian barat dan tengah Sarawak pada Disember 2013, Januari dan Februari 2014, dan di pantai timur Sabah pada Januari dan Februari 2014.
"Walaupun negara dijangka mengalami Monsun Timur Laut yang normal, namun setiap episod hujan lebat boleh menyebabkan kejadian banjir terutama di kawasan lembangan sungai,” kata jabatan itu.
Musim itu menyaksikan angin timur laut yang bertiup secara tetap merentasi Laut China Selatan hingga ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. - Bernama