Selepas mengejutkan pilihan kedua dari England, Sarah Jane Perry di separuh akhir semalam, giliran pilihan keempat dari Mesir, Amina Orfi menjadi 'mangsa' Sivasangari pada aksi final yang menyaksikan dia melakar kemenangan 3-0.
Pemain berusia 24 tahun itu bermula garang apabila memenangi set pertama 11-9 ke atas lawan yang juga bekas juara remaja dunia dua kali itu sebelum dia meneruskan penguasaan di set kedua menerusi kemenangan 11-8.
Sivasangari yang menghuni ranking ke-22 dunia memastikan gelaran juara menjadi miliknya apabila mengesahkan kemenangan 11-5 di set ketiga.
Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya merasakan sepanjang minggu ini saya bermain dengan sangat baik kecuali di pusingan pertama yang mana saya berasa sedikit gementar.
"Namun, selepas mara ke pusingan seterusnya, permainan saya bertambah baik termasuklah dalam perlawanan hari ini."Saya gembira dengan kemenangan ini apatah lagi menang dengan keputusan 3-0 menentang pemain yang sangat berbakat," kata Sivasangari kepada Persekutuan Skuasy Profesional (PSA) selepas tamat aksi final.Sebagai rekod, ini adalah gelaran kedua Sivasangari dalam Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional) selepas turut menjuarai Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos lalu.
Sivasangari jelas pada tahap terbaiknya musim ini apabila dia turut menyumbangkan pingat emas dalam acara perseorangan di Sukan Asia Hangzhou, September lalu.Dia juga membantu pasukan wanita memenangi emas dalam acara berpasukan di Hangzhou.
Peningkatan prestasi ditunjukkan Sivasangari dianggap kebangkitan yang luar biasa terutama selepas dia terpaksa berehat panjang akibat kemalangan jalan raya dialaminya pada Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, semangat 'pejuang' nyata mengalirkan dalam diri Sivasangari yang menunjukkan perkembangan positif selepas kembali ke gelanggang dengan beberapa pencapaian yang diraihnya.
"Saya bangga dengan pencapaian saya setakat ini. Prestasi saya menunjukkan perkembangan yang saya positif dan berharap dapat mengekalkan momentum ini.
"Saya akan bekerja keras dan menikmati sukan yang saya sayangi ini," katanya.
Pencapaian dilakar Sivasangari ketika ini dilihat hadir tepat pada masanya ketika Malaysia dalam usaha untuk membuat persiapan bagi menyusun program menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
KLIK DISINI UNTUK RUJUKAN: https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2023/11/1181560/sivasangari-julang-malaysia-di-hong-kong